AFP

Evian: Penyerang Jerman Mario Gomez (gambar) tidak dapat beraksi bagi baki saingan Euro 2016 berikutan kecederaan, manakala Sami Khedira dan ketua pasukan, Bastian Schweinsteiger belum pasti dapat diturunkan menjelang aksi separuh akhir Khamis ini, menurut Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) kelmarin.

Gomez terpaksa menjalani ujian imbasan kelmarin yang menunjukkan otot paha pemain berkenaan koyak ketika mengalahkan Itali di suku akhir dan tidak boleh beraksi bagi baki perlawanan membabitkan Jerman.

Pemain tengah Juventus Khedira juga mengalami otot terkoyak di pangkal paha dan pemain Manchester United Shcweinsteiger pula bergelut dengan kecederaan ligamen lutut ketika aksi bertemu Itali kelmarin.

“Masih lagi menjadi tanda tanya sama ada Schweinsteiger dan Khedira mampu menggalas tugas untuk aksi Khamis ini (awal pagi Jumaat) di Marseille atau bermain di pentas akhir,” jelas kenyataan badan induk berkenaan.

Kedua-dua pemain berkenaan menjalani rawatan perubatan intensif.

Juara dunia itu sudah tidak dapat menurunkan pertahanan, Mats Hummels untuk aksi separuh akhir selepas digantung perlawanan kerana menerima kad kuning kedua kejohanan ketika bertemu Itali.

Jerman mencatat kemenangan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Bordeux kelmarin selepas perlawanan berakhir sehingga ke tambahan masa dengan terikat 1-1.

Mereka akan bertemu Perancis pada suku akhir selepas pasukan tuan rumah itu mengalahkan Iceland 5-2 semalam.

Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir akan membabitkan Portugal dan Wales, sehari sebelum itu - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 8:55 AM