LOKASI kejadian. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
LOKASI kejadian. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Alias Abd Rani dan Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan tangan terikat dan muka ditutup tuala dipercayai disamun di rumahnya Taman Paroi Jaya di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, wanita berusia 78 tahun ditemui anak perempuan berusia 57 tahun yang pulang ke rumah selepas menjaga bapa yang dimasukkan ke wad di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) akibat sakit tua.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, ketika pulang anak mangsa mendapati pintu pagar dan jeriji tidak berkunci manakala pintu utama berkunci lalu masuk ke dalam rumah dan menemui ibunya di ruang tamu rumah.

"Wanita itu memanggil jiran yang bekerja sebagai jururawat untuk melihat keadaan mangsa dan menghubungi ambulans. Mangsa disahkan meninggal dunia.

"Hasil siasatan mendapati tiada kesan pecah masuk dan ada kesan jerutan di leher selain rantai emas serta cincin milik mangsa hilang dipercayai disamun.

“Sebelum kejadian, mangsa tinggal bersama seorang pembantu rumah sementara warga Indonesia berusia 30-an," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke HTJ untuk bedah siasat dan pihaknya kini sedang giat mengesan pembantu rumah terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 12:46 PM