Mangsa ditemui di dalam parit selepas diserang dua lelaki. FOTO Ihsan Pembaca
Mangsa ditemui di dalam parit selepas diserang dua lelaki. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek


WANITA ditemui mati di hadapan rumahnya di FELDA Sendayan, Seremban malam tadi dengan beberapa kesan kecederaan di kepala.

Dalam kejadian 9.24 malam itu, mangsa S Sri Devi Kalaivani Raniamal, 42, dipercayai baru pulang dari tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang sebelum diserang dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa dipercayai dipukul dan disamun suspek.

“Polis menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam sebelum ke lokasi.

“Hasil siasatan pada mangsa mendapati ada kesan dipukul.

“Berdasarkan maklumat, mangsa disamun dua lelaki menunggang motosikal.

“Rantai emas dan beg sandang mengandungi wang tunai RM4,000 milik mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata, hasil siasatan polis berjaya mengesan dan menahan dua suspek berusia 34 dan 55 tahun berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu sepupu mangsa berusia 38 tahun berkata, Sri Devi tinggal dengan keluarganya sejak tiga tahun lalu selepas kematian suami dan bekerja sebagai tukang cuci di KLIA.

Menurutnya, kejadian itu kali kedua menimpa mangsa dan kali pertama disamun April lalu juga di lokasi sama.

“Keadaan di hadapan rumah ini gelap. Ketika kejadian, dia baru balik dari tempat kerja selepas dijemput bapa saya dengan van,” katanya.

Segar berkata, bapa dan adiknya menemui sepupunya itu di dalam parit di hadapan rumah itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kepala berdarah.

Katanya, mayat kini berada di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat dan akan disemadikan di Sendayan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 4:46 PM