MANGSA dikejarkan ke hospital.
MANGSA dikejarkan ke hospital.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Sepasang suami isteri cedera ditetak dalam kejadian samun di Taman Bukit Galena di sini, pagi tadi.

Difahamkan, empat kejadian samun berasingan berlaku di Taman Bukit Kristal, Taman Bukit Galena dan Seremban 3 di sini, serta Desa Indah Putra, Nilai, dalam tempoh sejam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, sepasang suami isteri berusia 50-an dan 60-an yang berada di halaman rumah mereka didatangi dua lelaki menunggang motosikal.

"Sebelum kejadian, si isteri membuka pagar rumah untuk keluar menyiram bunga, tiba-tiba seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa dipercayai mahu meragut rantai emas.

"Bagaimanapun, mangsa bertindak melawan dan berlaku pergelutan menyebabkan suspek menolaknya sehingga terjatuh. Suami mangsa cuba membantu namun ditetak suspek di bahagian kepala," katanya.

Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Kumpulan suspek yang sama dipercayai menyamun seorang wanita di Taman Bukit Kristal dan seorang anggota tentera di Seremban 3 membabitkan kerugian lebih RM2,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning turut mengesahkan seorang peniaga wanita berusia 45 tahun disamun ketika berjalan kaki di Jalan Desa Indah 5, Desa Indah Putra, 9 pagi tadi, dipercayai dilakukan kumpulan suspek sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 6:19 PM