FOTO bersama anak daripada  Instagram Fouziah.
FOTO bersama anak daripada Instagram Fouziah.
Norhayati Nordin


Sejak bergelar isteri dan ibu, makin berseri-seri wajah pelakon dan pengacara jelita, Fouziah Gous. Apatah lagi, Fouziah kini tampak lebih kurus.

Bersua dengan bekas pengacara Nona itu pada satu majlis hiburan baru-baru ini, Fouziah berkata dia sama sekali tidak mengamalkan diet.

Katanya, selepas melahirkan anak sulung, Muhammad Zeeshan kini berusia lima bulan, dia komited dalam melakukan amalan berpantang yang betul.

“Sepanjang tempoh berpantang 44 hari itu, saya titik beratkan segala petua dan amalan yang disarankan baik untuk ibu yang lepas bersalin.

“Saya sangat menjaga pemakanan dengan betul dan teratur tanpa diet. Lagi pun, susah untuk saya diet kerana anak masih menyusu badan,” katanya.

Jelas Fouziah, selain itu dia juga mengamalkan minum sarang burung walet yang juga cabang perniagaan diusahakannya setiap pagi dan malam.

Katanya, setiap hari dia akan pastikan meminum sarang burung sebanyak dua kali. Katanya, minum sarang burung baik untuk kesihatan.

“Saya serasi dengan meminum sarang burung walet. Ia memberi saya tenaga, baik untuk kesihatan dan kulit juga terhindar daripada masalah.

“Kalau ketika mengandung dulu berat saya pernah mencecah 64 kilogram tetapi sekarang sudah turun kepada 50 kilogram dan ideal untuk saya,” katanya.

Berkongsi fasa barunya bergelar ibu, Fouziah berkata ia satu nikmat yang tidak terhingga anugerah Tuhan kepadanya sebagai wanita.

Menurut Fouziah, lebih membuatkan dia seronok tanpa sebarang tekanan kerana anaknya adalah bayi yang mudah dijaga sejak dilahirkan.

“Setakat ini segala perihal membabitkan penjagaan anak saya uruskan sendiri, ia adalah fasa sangat menyeronokkan biarpun ada kalanya berasa penat.

“Saya lebih selesa menjaga sendiri daripada menggunakan khidmat pembantu rumah kerana dapat menimba pengalaman yang pernah dilalui ibu saya dahulu.

“Kini baru saya benar-benar faham naluri dan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Ternyata pengorbanan seorang ibu kepada anaknya terlalu besar,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seninya, Fouziah berkata dia membintangi drama Strawberi dan Karipap Hello Hong Kong sebanyak 13 episod.

Katanya, memandangkan sekarang keutamaannya lebih diberikan kepada keluarga, dia lebih teliti dalam memilih tawaran.

“Pembabitan saya dalam drama Strawberi dan Karipap Hello Hong Kong pun disebabkan pihak produksi memahami jadual harian saya.

“Sebelum menerima sebarang tawaran berlakon, saya akan pastikan lebih dulu berbincang dengan pihak produksi kerana tidak mahu berlaku masalah.

“Macam untuk penggambaran drama Strawberi dan Karipap Hello Hong Kong, saya sanggup terima kerana penerbit, pengarah dan kru produksi sangat memahami.

“Memandangkan penggambaran babak saya dijalankan di Hong Kong selama dua minggu, semestinya anak pun kenalah bawa.

“Memang takkan sekali-kali saya tinggalkan Muhammad Zeeshan dalam tempoh yang lama kerana dia menyusu badan dan perlukan perhatian ibu,” katanya.

Fouziah yang bernikah dengan Mohd Zhafran Md Yusof, 33, pada September 2013 selamat melahirkan Muhammad Zeeshan pada 26 November tahun lalu.

Mengenai bidang pengacaraan, Fouziah berkata dia menerima beberapa tawaran tetapi menolaknya kerana tidak boleh memberikan komitmen.

“Anak saya masih terlalu kecil untuk ditinggalkan. Tambah pula hanya ahli keluarga yang saya percaya untuk menjaga anak apabila saya keluar bekerja.

“Buat masa sekarang, rasanya saya lebih selesa memberi tumpuan kepada penjagaan anak. Suami juga memahami keputusan saya,” katanya yang sudah sedekad membina karier seni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:04 AM