FOUZIAH Gous
FOUZIAH Gous
Ramlah Zainal


PELAKON Datin Fouziah Gous mengakui dia memang merancang untuk memiliki anak yang ramai sekali gus memiliki keluarga besar pada masa depan.

Menurut pelakon drama bersiri Sara Sajeeda ini, dia juga sudah bersedia untuk mendapat anak ketiga selepas ini.

“Alhamdulillah, anak kedua, Zaheen sudah mencecah usia dua tahun dan baru bercerai susu badan. Insya-Allah, jika ada rezeki, kami mahu sekurang-kurangnya tiga anak ataupun dapat sepasang lagi selepas ini,”katanya.

Ditanya perkembangan anak keduanya itu, kata Fouziah, dia juga tidak cukup rehat kerana Zaheen kerap bangun untuk menyusu pada waktu malam.

Fouziah ditemui pada majlis minum petang sempena meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-37 di Artelia, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai rumah baru pula, kata Fouziah, dia bakal berpindah selepas pejabat perniagaan produk sarang burung FG Walet yang diubahsuai siap tidak lama lagi.

“Setakat ini, pejabat baru syarikat sudah siap sebanyak 70 peratus. Rumah baru kami juga hanya berhadapan dengan rumah lama yang juga tempat tinggal kami sekeluarga.

“Kami beli rumah itu kerana tidak mahu berjauhan dengan ibu bapa yang sudah tua,”katanya.

Fouziah berkahwin dengan Datuk Mohd Zhafran Md Yusof pada 21 September 2013 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Zeeshan, 4, dan Zaheen Yusof,2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 11:56 PM