MAJLIS hari jadi Fouziah.
MAJLIS hari jadi Fouziah.
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon Fouziah Gous menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 ketika berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Zeeshan pada 26 November 2015.

Sekali lagi pada 11 Disember lalu, Fouziah yang juga bekas pengacara program Nona meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-35 dalam tempoh berpantang.

Fouziah selamat bersalin anak lelaki kedua, Zaheen Yusof pada 9 November lalu.

Menurut Fouziah, sambutan itu adalah kejutan daripada suaminya, Md Zhafran.

“Ikutkan, saya tak nak sambut tetapi ini semua usaha suami. Dia yang merancang segala-galanya tanpa pengetahuan saya. Sama juga seperti dua tahun lalu. Apabila tahun ini saya melalui pengalaman sama, ia detik indah dalam hidup.

“Saya sangat besyukur dan terharu memiliki suami, keluarga, rakan serta peminat yang penyayang. Dalam keadaan saya berpantang pun, mereka tidak lupa meraikan saya. Malah, mereka sanggup menempah kek yang sesuai buat wanita berpantang.

“Kalau fikir balik, pada usia sekarang dan dalam keadaan begini, tidak perlu semua ini. Memadai dengan doa dan kasih sayang. Namun, cara mereka ini membuatkan saya berasa sangat bahagia,” katanya.

Menurut Fouziah, dia bukan saja menerima kejutan hari lahir tetapi suaminya turut menghias bilik khas sebagai tanda ingatan dan kasih sayang.

Bagi Fouziah, apa yang dilakukan suaminya itu di luar jangkaannya kerana selama ini dia tidak pernah membayangkan untuk membuat sambutan hari jadi secara besar-besaran.

“Sejujurnya, dari dahulu lagi saya tidak penah mengadakan sambutan hari jadi melainkan ia dibuat keluarga dan peminat. Bukan tidak mahu, tetapi saya jenis yang sukakan kesederhanaan.

“Macam saya katakan tadi, cukup sekadar ucapan dan tanda ingatan, ia sudah membuatkan saya gembira. Tidak perlu berlebihan sehingga berlaku pembaziran. Namun, saya anggap ini semua rezeki. Saya tidak boleh menolak,” katanya.

MAJLIS hari jadi Fouziah.
MAJLIS hari jadi Fouziah.

Tambah anak

Menerusi laman Instagram miliknya, Fouziah memberi bayangan ingin menambah seorang lagi anak.

Malah, dia seronok jika menyambut hari lahir sekali lagi ketika dalam pantang.

“Saya tak kisah jika tahun hadapan atau dua tahun akan datang beranak seorang lagi. Dalam perkara ini, saya dan suami tidak pernah merancang. Kalau sudah rezeki Allah nak bagi, siapa kami untuk menolak? Bagi saya, anak adalah amanah dan permata yang tidak ternilai.

“Lagipun, bersalin dalam jarak dekat lebih mudah. Barangan bayi tak perlu beli. Macam anak kedua, semua keperluan termasuk baju daripada anak pertama dahulu. Tidak perlu membazir kerana keadaannya masih bagus.

“Meski tak cukup tidur, ini satu pengalaman berharga. Memandangkan anak sulung baru dua tahun, jadi ada ketika dia meragam dan minta dilayan. Pada masa sama, anak kedua juga perlu diberi perhatian. Memang penat, tapi ia menyeronokkan dan saya berasa puas,” katanya.

Menurut Fouziah, pengalaman sebagai ibu kepada dua anak membuatkan dirinya semakin matang.

Apa yang pasti, Fouziah ingin memanfaatkan setiap detik bersama kedua-dua anaknya kerana ingin menjadi ibu yang baik dan bertanggungjawab.

“Saya seronok dengan kehidupan dilalui. Banyak perkara dipelajari. Setiap satu daripadanya membuatkan saya jadi matang, tabah dan tenang. Pendek kata, saya lebih menghargai diri.

“Baru saya rasa seperti ibu melalui pengalaman ini membesarkan semua anak. Betul kata orang, tanggungjawab lebih dirasai selepas memiliki anak. Apa pun yang ingin dilakukan, anak menjadi keutamaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 6:54 AM