Siti Fatimah Mohamed Anwar

Butterworth: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan berasingan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lalu.

Koperal Badrul Hisham Hashim @ Isahak, 47 dan Lans Koperal Raja Mohd Shah Heri Raja Salleh, 33, buat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, Badrul Hisham yang bertugas sebagai anggota di Pasukan Gerakan Am Kulim, didakwa meminta wang suapan RM1,500 daripada lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki air ketum di Taman Pelangi, Juru,Bukit Mertajam pada 10 Disember 2014.

Bagi kesalahan itu, Badrul Hisham dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sementara, Mohd Raja Shah Heri yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) dituduh bersubahat dengan Badrul Hisham untuk memperoleh suapan RM1,500 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu sama kerana memiliki air ketum, pada waktu dan tempat sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 11:35 AM