GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petra Jaya: Koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuching, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM250, 6 September tahun lalu.

Tertuduh Zuliskandar Zolkeflee, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong selepas mengganguk faham pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Kerunding, Kuching, pada 6.05 petang.

Suapan itu diterima sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua individu yang disyaki tidak memiliki lesen memandu dan penyalahgunaan dadah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Hakim menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan yang beralamat di Kuching dan 29 Mac sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Mohd Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 11:27 AM