GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua anggota polis yang dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah mengaku tidak bersalah.

Tertuduh, Koperal Sabestino Bong, 42, dan Lans Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, Sabestino yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menerima suapan sebanyak RM200 daripada seorang lelaki, 6 Jun 2017.

Suapan berkenaan didakwa sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Sabestino kemudiannya menerima tambahan wang suapan sebanyak RM100 di sebuah bank di daerah Kota Belud.

Bagi tertuduh kedua, Haikal yang turut bertugas di IPD Kota Belud pula berhadapan sembilan pertuduhan membabitkan nilai suapan sebanyak RM1,570 dalam tempoh antara 23 Mei 2017 hingga 6 Julai 2018.

Kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Sekysen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin terhadap Sabestino sebanyak RM6,000 bersama deposit RM3,000, seorang penjamin tempatan.

Tertuduh turut diarahkan supaya melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lahad Datu selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

Manakala bagi Haikal Ibrahim, tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 bersama deposit RM4,000 dan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh kedua turut diarahkan supaya melaporkan diri kepada SPRM Sandakan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh memohon rayuan kepada mahkamah supaya dikurangkan wang jaminan kerana perlu menanggung keluarga masing-masing.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah Nurul Izzati Sapifee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:15 PM