GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengedar air ketum pada 2018.

Tertuduh, Amirul Abu Bakar, 35, dan Mohd Hafizul Zakaria, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.

Mengikut pertuduhan pertama, Koperal Sokongan dan Koperal di Balai Polis Sik, Kedah, secara bersama meminta suapan RM4,000 daripada seorang lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan menjual air ketum.

Bagi pertuduhan kedua, mereka secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM2,600 daripada seorang lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan menjual air ketum sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sinar Mentari, Bedong, Kedah pada jam 9 malam, 28 Jun 2018.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Amirul secara berasingan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengedar air ketum pada 2018.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh meminta suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan menjual air ketum.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memperoleh wang tunai RM1,300 dan rantai emas bernilai RM380 daripada seorang lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan menjual air ketum sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sinar Mentari, Bedong, Kedah, pada jam 9 malam, 13 Julai 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin, manakala Amirul diwakili peguam, Noor Hisham Ismail, dan Mohd Hafizul diwakili peguam, Che Sharif Matt.

Mahkamah kemudian membenarkan Amirul dijamin sebanyak RM10,000 dan Mohd Hafizul sebanyak RM5,000 dengan kedua-dua tertuduh perlu mengemukakan seorang penjamin.

Hakim menetapkan sebutan semula kedua-dua kes dan tarikh serahan dokumen berkaitan adalah pada 14 September depan.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar wang jaminan dan mengemukakan penjamin masing-masing di Kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 1:05 PM