PERSEMBAHAN Altimet dan The Kawan Band di Texas disaksikan lebih 1,000 penonton.
PERSEMBAHAN Altimet dan The Kawan Band di Texas disaksikan lebih 1,000 penonton.
Michelle Gun


Persembahan penyanyi rap Altimet dan The Kawan Band di festival seni South by Southwest (SXSW) 2016 yang berlangsung di Texas, Amerika Syarikat pada Mac lalu peluang terbaik memperkenalkan muzik tanah air di peringkat antarabangsa.

Persembahan kali pertama Altimet bersama kumpulan itu di dua lokasi SXSW pada 17 hingga 19 Mac lalu mendapat sambutan baik pencinta muzik.

Lebih mengujakan, Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman berkata, persembahan mereka turut menerima pujian beberapa artis luar.

“Ada artis dari Poland dan Bangladesh termasuk orang industri muzik memberitahu mereka kagum dengan persembahan kami kerana unik.

“Persembahan kami di The Russian House dan The International Day Stage disaksikan lebih 1,000 penonton,” katanya ketika ditemui pada sidang media baru-baru ini.

Menurut Altimet, peluang menyertai festival itu pengalaman menarik kerana dapat belajar mengurus­kan sistem bunyi dalam tempoh singkat.

“Setiap artis diberikan sejam untuk persembahan termasuk 15 minit membuat pemeriksaan sistem bunyi. Jadi, kami perlu bergerak pantas untuk menyiapkan band dalam tempoh itu,” katanya.

Susulan itu, Altimet berkata, pe­nganjur SXSW mengundang mereka sekali lagi untuk kembali beraksi dalam festival itu tahun depan.

“Berita itu menggembirakan saya dan anggota The Kawan Band, apatah lagi ia jemputan menjayakan persembahan di pentas besar SXSW.

“Pun begitu, kami belum beri keputusan kerana perlu mengeluarkan wang sendiri dan penganjur cuma menyediakan pentas,” katanya.

Sebelum SXSW, Altimet dan The Kawan Band membuat konsert pertama mereka di pusat kesenian Rich Mix, London pada 14 Mac lalu.

Perjalanan kumpulan berkenaan di Rich Mix dan SXSW 2016 akan dimuat naik di laman sosial YouTube dalam masa terdekat.

Hasilkan album

Selepas tiga tahun bekerjasama, Altimet dan The Kawan Band bakal menghasilkan album yang menghimpunkan lagu persembahan di Malaysia.

Selain album, Altimet berkata single baru kumpulan terbabit yang berjudul Keliling Dunia diperkenalkan kepada peminat dalam masa terdekat.

“Rakaman klip video single ini sudah siap dan dimuat naik di semua media sosial termasuk YouTube,” katanya.

Walaupun bergabung dengan The Kawan Band sebagai satu kumpulan, Altimet masih aktif bergerak secara solo.

“Bagi karier solo, saya sudah merakamkan beberapa lagu, namun tarikh pelancaran belum pasti lagi.

“Buat masa ini, saya mahu fokus dengan promosi single Keliling Dunia dan album bersama The Kawan Band,” katanya.

The Kawan Band dianggotai Tim selaku pemain keyboard, Rav Singh (perkusi), Dean Sim (gitar), Gideon Yogan (bass), Mohd Ridzwan (trompet), Omar Ibrahim (dram), Faliq Auri (seruling dan saksofon) serta Nabil Zamanhuri (vokalis).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 11:05 AM