Altimet (tengah) bersama The Kawan Band. FOTO NSTP
Altimet (tengah) bersama The Kawan Band. FOTO NSTP
Oleh Michelle Gun

Kuala Lumpur: Persembahan penyanyi Altimet bersama kumpulan The Kawan Band (TKB) di festival seni South by Southwest (SXSW) 2016 di Texas, Amerika Syarikat pada 17 hingga 19 Mac lalu mendapat sambutan penonton di negara itu.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 37, berkata, persembahan kali pertama kumpulan itu di SXSW turut menerima pujian beberapa artis luar yang menyertai festival berkenaan.

"Ada artis dari Poland dan Bangladesh termasuk orang industri muzik memberitahu mereka kagum dengan muzik yang dibawa kami kerana unik.

"Persembahan kami di dua lokasi iaitu The Russian House dan The International Day Stage disaksikan lebih 1,000 penonton," katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Menurut Altimet, peluang menyertai festival itu pengalaman baik kerana dapat mempelajari menguruskan sistem bunyi dalam tempoh singkat.

"Setiap artis diberikan sejam untuk persembahan termasuk 15 minit untuk membuat pemeriksaan sistem bunyi. Jadi, kami perlu bergerak pantas untuk menyiapkan band dalam tempoh itu," katanya.

Susulan itu, Altimet berkata, penganjur SXSW menghantar jemputan kepada kumpulan berkenaan untuk kembali ke pentas festival itu tahun depan.

"Berita itu mengembirakan saya dan anggota The Kawan Band, apatah lagi jemputan itu untuk persembahan di pentas besar SXSW.

"Bagaimanapun, kami belum memberi kata putus lagi kerana perlu mengeluarkan wang sendiri dan penganjur cuma menyediakan pentas persembahan," katanya.

Altimet berkata, perjalanan kumpulan berkenaan di SXSW 2016 serta Rich Mix di London pada 14 Mac lalu akan dimuatnaik di laman sosial YouTube dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 8:03 PM