Altimet mahu beri persembahan terbaik di Texas. FOTO NSTP
Altimet mahu beri persembahan terbaik di Texas. FOTO NSTP
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Altimet akan membuat persembahan bersama kumpulannya The Kawan Band satu-satunya wakil dari Malaysia dipilih mengadakan acara persembahan pada South By Southwest 2016 di Texas, Amerika Syarikat pada 17 Mac depan.

“Mereka tertarik dengan muzik video lagu Maafkan Kami dan Joget Dekat Je nyanyian saya di YouTube tahun lalu. Mereka memberi tawaran ini pada September lalu.

Katanya konsep lagu ini lain daripada apa yang ada di sana,” kata penyanyi rap popular itu mengenai pemilihannya mengadakan persembahan di persidangan muzik dan filem utama dunia di negara terbabit.

Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman, 37, berkata, dia bersama The Kawan Band akan berada di Austin,Texas pada 11 hingga 20 Mac depan.

Persembahan mereka dijadualkan pada 17 Mac.

“Ia acara yang bukan saja terbuka kepada orang ramai tetapi juga penggiat industri muzik di sana. Ini satu pelaburan yang sangat berbaloi untuk karier saya tetapi kenalah keluarkan modal terlebih dahulu.

“Saya akan pergi bersama The Kawan Band dan sudah tentu memerlukan kos yang tinggi. Rombongan kami akan disertai seramai 13 orang termasuk juruvideo. Ini perlu bagi merakamkan detik-detik bersejarah kami di sana,” katanya kepada Harian Metro.

Altimet berkata, kos untuk membawanya ke sana mencecah RM250,000, namun dia bersyukur kerana mendapat tajaan daripada beberapa pihak.

“Ia dianggap mencukupi dan memberikan semangat untuk kami memberikan persembahan terbaik nanti,” katanya.

Altimet berkata, mereka akan menyampaikan sembilan lagu dalam persembahan selama 45 minit itu.

Menurutnya, ia akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu persembahan untuk orang awam dan penggiat industri muzik.

“Buat masa ini kami giat melakukan persiapan sebaik mungkin. Kalau boleh kami ingin mengikuti jejak penyanyi Yuna yang pernah dijemput mengadakan persembahan di acara ini pada 2010 dan seterusnya berjaya mengembangkan karier di Amerika Syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 12:51 AM