Oleh Muhammad Apendy Issahak


Behrang: Kedua-dua laluan di Kilometer 395.3 hingga 395.4 Leburaya PLUS berhampiran Behrang ditutup selepas berlaku banjir kilat di kawasan terbabit kira-kira jam 7 malam tadi.

Laman Twitter rasmi PLUS melaporkan, maklumat mengenai kejadian pada jam 7.12 malam membabitkan laluan arah selatan dari Behrang ke Tanjung Malim.

Keadaan banjir menjadi semakin buruk dan pada jam 7.40 malam, kesemua laluan di kedua-dua arah dinaiki air dan terpaksa ditutup serta pengguna lebuh raya diarahkan keluar di tol Behrang dan Tanjung Malim.

Lencongan turut dilakukan di Kilometer 394.4 bagi membolehkan kenderaan dari arah selatan bergerak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Ahmad Mohamad Isa ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian, namun memberitahu lokasi kejadian adalah membabitkan kawasan polis daerah Hulu Selangor.

Menurutnya, pihaknya turut menghantar anggota bagi membantu melancarkan trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 9:00 PM