Rosman Shamsudin


Behrang: Kanak-kanak berusia empat tahun antara 21 peserta Program Berkhatan di Surau Al Hijrah Taman Sekiah Makmur, di sini, hari ini.

Program kali ke lima itu dianjurkan Persatuan Penduduk Taman Sekiah Makmur (PPTSM) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetanggga (KRT) Taman Sekiah Makmur dan Surau Al Hijrah.

Pengerusi PPTSM, Zulkarnain Hassan berkata, mereka yang menyertai program ini terdiri daripada kanak-kanak taman perumahan ini, kuarters Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dan Kampung Sungai Sekiah.

Menurutnya, setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM150 seorang.

"Semalam, penganjur mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat sebelum meraikan peserta berkhatan di dalam majlis makan malam di samping memberikan cenderahati kepada semua peserta.

"Program khatan hari ini dimulakan dengan perarakan peserta dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mengambil suhu badan semua peserta dan ibu bapa yang hadir," katanya.

Kehadiran anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim yang memandikan peserta dengan menyembur air memeriahkan lagi program terbabit.

Sebelum itu, peserta berkhatan diarak dengan motosikal ditunggang ibu bapa masing-masing mengelilingi taman perumahan terbabit.

Majlis berkhatan dilakukan dua pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Tanjung Malim.

Sementara itu, bapa kepada peserta termuda, Muhammad Farhan yang berusia empat tahun, Muhamad Suhaimi Ibrahim, 33, pula berkata anaknya menyatakan hasrat untuk berkhatan selepas anak pertama, Muhammad Lokman, 7, mendaftarkan diri dalam program terbabit.

Katanya, sebagai bapa dia terus memberi sokongan kepada kedua anak lelakinya bagi mengharungi alam dewasa.

"Sebelum program, saya sering memaklumkan kepada anak lelaki yang setiap lelaki beragama Islam pasti akan melalui saat ini dalam kehidupan.

"Saya bersyukur kerana mereka bersemangat dengan mengenakan pakaian baharu dan teruja menyertai program berkhatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 9:40 AM
ANGGOTA bomba mennyemburkan air bagi meraikan peserta Program Berkhatan di Surau Al Hijrah. FOTO Rosman Shamsudin.
ANGGOTA bomba mennyemburkan air bagi meraikan peserta Program Berkhatan di Surau Al Hijrah. FOTO Rosman Shamsudin.