MOHD Rani Hisham Shamsudin Merasmikan pelancaran program familiarization trip ekspres koc basikal (XKB) KTMB Stesen KTMB KL - Tanjung Malim- KTMB KL. FOTO Aswadi Alias
MOHD Rani Hisham Shamsudin Merasmikan pelancaran program familiarization trip ekspres koc basikal (XKB) KTMB Stesen KTMB KL - Tanjung Malim- KTMB KL. FOTO Aswadi Alias
Wan Asrudi Wan Hasan


Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini memperkenalkan perkhidmatan terbaru menerusi Express Koc Basikal (XKB).

Sempena pelancaran XKB kira-kira 150 peserta terdiri daripada pengamal media, wakil Tourism Malaysia, syarikat swasta, wakil kelab basikal dan beberapa jemputan khas memyertai Program Familiarization Trip (FamTrip).

Menerusi program FamTrip peserta dibawa menaiki tren XKB dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim.

Setiba di Tanjung Malim peserta menyertai aktiviti berbasikal santai selama dua jam menggunakan laluan Stesen Tanjung Malim - Sungai Bil - Behrang Ulu - Sungai Dara - Sungai Bil - Stesen Tanjung Malim sejauh 49 kilometer.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Shamsudin

Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob berkata pihaknya memperkenalkan perkhidmatan XKB iaitu tren sewa khas bukan sahaja kerana aktiviti berbasikal merupakan trend masa kini dan menjadi gaya hidup ramai rakyat Malaysia.

"XKB juga diperkenalkan sebagai tanda sokongan KTMB kepada kempen Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bertujuan meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat Malaysia sebagai keutamaan melalui gaya hidup sihat." katanya.

Tambahnya, koc basikal yang pada asalnya ialah koc tempat duduk penumpang diubah usai untuk memuatkan 60 basikal.

Harga sewaan XKB bergantung kepada laluan tren atau jarak perjalanan yang dipilih pelanggan.

Untuk pertanyaan lanjut dan tempahan sila hubungi talian 03-22631077 atau email [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 9:50 AM