IDRIS (tengah) menerima replika cek sumbangan penajaan daripada Edra Power  di Seri Negeri, semalam.
IDRIS (tengah) menerima replika cek sumbangan penajaan daripada Edra Power di Seri Negeri, semalam.

Melaka: Syarikat pembekal tenaga, Edra Power Holding Sdn Bhd bersetuju menaja Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dengan jumlah tajaan RM5 juta bagi tempoh tiga tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, untuk tahun ini MUSA menerima tajaan syarikat itu sebanyak RM3 juta diikuti RM1 juta, masing-masing untuk 2017 dan 2018.

“Saya bersama kepimpinan MUSA mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Edra Power Holding Sdn Bhd kerana sudi menaja MUSA bagi membangunkan pasukan MU (Melaka United).

“Sebelum ini, MU hanya memerlukan RM3 hingga RM4 juta setahun namun begitu perbelanjaan meningkat kepada RM8 hingga RM10 juta selepas layak ke Liga Perdana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Tajaan daripada Edra Power Holding Sdn Bhd di Seri Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Edra Power Holding Sdn Bhd Lin Jian, Presiden dan Pengarah Eksekutifnya Datuk Mark Ling, Ketua Pegawai Operasi Datuk Nazri Shahruddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Naim Ab Karim dan Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Idris, yang juga Presiden MUSA memuji barisan pengurusan baharu yang membantu MU bangkit semula dengan menjuarai Liga FAM lalu, sekali gus layak beraksi pada saingan Liga Perdana.

“Sejarah bola sepak Melaka berulang selepas hampir 30 tahun tidak menjulang apa-apa kejuaraan sejak 1983 dan berharap kejayaan hari ini akan membantu mengembalikan semula kegemilangan MU ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:26 AM