MUFC bakal memiliki bangunan sendiri yang bakal dibina bersebelahan pejabat MUSA ketika ini di Kompleks Sukan Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
MUFC bakal memiliki bangunan sendiri yang bakal dibina bersebelahan pejabat MUSA ketika ini di Kompleks Sukan Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) lega menerima tajaan RM2.5juta daripada Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi projek pembangunan persatuan dan anak syarikatnya Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC).

Setiausaha Agung Musa, Ahmad Roslee Hamzah berkata, bagaimanapun tajaan berkenaan bukan untuk bayaran gaji pemain atau pegawai kerana ia juga bukan dalam bentuk tunai.

Menurutnya, sebaliknya ia akan digunakan untuk kemudahan infrastruktur MUSA MUFC sekali gus menyediakan fasiliti sukan termasuk menaik taraf padang latihan bagi program pembangunan bola sepak akar umbi.

Katanya, sebanyak RM600,000 hingga RM700,000 juga diperuntukkan bagi membina bangunan baharu untuk MUFC yang terletak di sebelah pejabat MUSA di Komplek Sukan Paya Rumput.

"Ianya menempatkan bilik mesyuarat , ruang perbincangan, gimnasium khas pemain dan bilik pegawai eksekutif MUFC.

"Pembinaan bakal dilakukan tidak lama lagi dengan beberapa prosedur penting diperhalusi sebelum ia diiklankan kelak," katanya.

Sehubungan itu, dia ,mengharapkan lebih banyak syarikat yang akan menaja MUSA dalam mengendali persatuan berkenaan termasuk skuad Liga Super MUFC.

Sementara itu, dia yakin skuad MUFC bakal menterjemah persembahan terbaiknya pada aksi pembukaan Liga Super berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat 6 Mac depan.

Katanya, persiapan rapi pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan dengan imej baharu berkenaan bakal menerbitkan motivasi tinggi pemain untuk mencapai misi kejayaan gemilang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 7:39 PM