Stadium Hang Jebat kebanggaan pasukan Melaka United. - Foto Fail
Stadium Hang Jebat kebanggaan pasukan Melaka United. - Foto Fail

Bernama

KECEWA dengan tahap kebersihan Stadium Hang Jebat, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, memberi tempoh sebulan kepada Perbadanan Stadium Melaka melaksanakan kerja pembersihan yang perlu dilakukan kakitangannya sendiri, termasuk pengurusan tertinggi.

Idris berkata Sambutan Hari Belia Negara 2017 peringkat negeri selama tiga hari berakhir Ahad lalu, di stadium itu berlangsung dalam suasana tidak terurus dan teratur akibat kegagalan pengurusan menjaga kebersihan.

“Ia memberi imej dan persepsi negatif masyarakat terutama orang luar terhadap Melaka. Justeru saya meminta pengurusan stadium memainkan peranan memulihkan kembali imej stadium merangkumi aspek kebersihan dan keindahan dengan melakukan aktiviti gotong-royong setiap hari," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata demikian selepas menerima tajaan bagi pasukan Melaka United daripada dua syarikat iaitu Nitizi Construction Sdn Bhd dan Hyundai Engineering Malaysia Sdn Bhd yang masing-masing menyumbang RM1 juta.

Idris yang meluahkan kekecewaannya terhadap pengurusan stadium itu menyifatkannya tidak cekap terutama menjaga aspek kebersihan stadium, malah melabel pengurusan itu sebagai terburuk dalam kalangan organisasi di negeri ini.

Perbadanan Stadium Melaka bertanggungjawab menguruskan dua stadium di negeri ini iaitu Stadium Hang Jebat dan Stadium Hang Tuah.

Menurut Idris, stadium yang cukup dikenali sebagai 'rumah' kepada pasukan Melaka United sepatutnya menjadi kawasan dicontohi kebersihannya dan organisasi yang menguruskannya perlu menjadi kebanggaan negeri selaras dengan slogan laungan negeri 'Don't Mess With Melaka'.

"Pengurusan stadium memandang enteng terhadap kebersihan rumah Melaka United ini ... malu rasanya kita menggelar Melaka ini negeri maju namun soal kebersihan stadium yang menjadi tumpuan orang ramai ini dipandang ringan yang mana kadang kala gambarnya (stadium) dipaparkan di laman sosial," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Melaka Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya mengambil serius teguran Idris mengenai tahap kebersihan dan ketidakcekapan pengurusan stadium berkenaan.

"Kami akan menjalankan aktiviti gotong-rotong seperti disarankan ketua menteri,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Timbalan Presiden MUSA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 8:07 PM