MAS Ermieyati (kanan) meneliti hakisan pantai yang merobohkan pondok wakaf chalet di pantai Sungai Kertah, Pengkalan Balak Masjid Tanah dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
MAS Ermieyati (kanan) meneliti hakisan pantai yang merobohkan pondok wakaf chalet di pantai Sungai Kertah, Pengkalan Balak Masjid Tanah dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

KERAJAAN negeri Melaka harus meneliti semula aktiviti mengorek pasir laut projek loji jana kuasa turbin gas kitaran bergabung di perairan pantai Telok Gong, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, kerana dipercayai menyebabkan hakisan pantai.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin mendakwa, pelbagai aduan diterimanya daripada pengusaha penginapan dan nelayan di pantai peranginan Tanjung Bidara, Pengkalan Balak, Sungai Tuang, Padang Kemunting, Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi menyatakan hakisan pantai semakin serius dipercayai berpunca daripada aktiviti itu.

Beliau mendakwa, aktiviti itu dipercayai menyebabkan perubahan arus dasar laut yang memungkinkan hakisan di pantai berkenaan, sekali gus menyebabkan rumah nelayan dan chalet berhampiran pantai diancam bahaya.

"Faktor pengorekan pasir pantai projek Edra (Edra Power Holdings Sdn Bhd) dipercayai menyebabkan hakisan pantai berterusan dan saya minta kerajaan negeri meneliti semula kerja berkenaan.

"Hakisan pantai menyebabkan kerajaan negeri sebelum ini terpaksa mengeluarkan peruntukan tinggi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menjalankan kerja pembaikan pantai yang mengalami hakisan teruk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau hakisan di chalet di pantai Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, sebelum ini, JPS sudah membina tembok penahan ombak dan benteng pemecah ombak di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara; Kampung Pantai dan Kampung Kuala Sungai Baru serta Tanjung Dahan yang membabitkan puluhan juta ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 2:22 PM