Pasukan penyelamat berusaha membawa naik mangsa selepas ditemui di dasar laut. FOTO ihsan bomba
Pasukan penyelamat berusaha membawa naik mangsa selepas ditemui di dasar laut. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Mayat remaja lelaki berusia 18 tahun yang terjatuh di Pantai Lido, di sini ketika membuang abu mayat bapa saudaranya, pagi tadi ditemui 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mayat S Sajiv,18, ditemui di dasar laut pada 4.30 petang oleh pasukan penyelamat kira-kira 40 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

"Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta syarikat penyelamat swasta yang dipanggil ahli keluarga berjaya menemui mayat mangsa.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk tindakan lanjut," katanya.

Mangsa dilaporkan ke kawasan itu bersama seorang lagi bapa saudara, dua ibu saudara dan seorang sami bagi melaksanakan upacara sembahyang dan melepaskan abu mayat abang kepada ibunya itu.

Bagaimanapun, dalam kejadian 11.25 pagi tadi, mangsa yang seorang diri turun ke pantai kira-kira 50 meter dari darat untuk melepaskan abu mayat itu dikatakan terjatuh ke dalam laut sebelum dilihat terkapai-kapai dan tenggelam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 5:10 PM