Mayat lelaki tempatan yang ditemui. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
Mayat lelaki tempatan yang ditemui. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


MAYAT seorang lelaki tempatan berusia lingkungan lewat 40-an ditemui terapung di takungan air tepi Pantai Lido, Lebuhraya Iskandar, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata dalam kejadian 1.26 petang tadi, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan ternampak mayat dalam keadaan terapung di lokasi itu.

“Mayat yang tiada pengenalan diri itu berusia lingkungan lewat 40-an. Si mati berpakaian kemeja berbelang hitam lengan panjang dan berseluar pendek tiga suku berwarna hitam.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru memberikan bantuan mengeluarkan mayat mangsa ke tebing air dan diperiksa oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun memaklumkan mangsa bukan antara pesakit Covid-19 yang menerima rawatan.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik HSAJB untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 5:43 PM