KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bharu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bharu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI maut, manakala tiga lagi rakannya cedera apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang lampu jalan di Kilometer 4 Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bharu, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu mengakibatkan penumpang hadapan kereta iaitu elaki berusia 20-an yang identitinya belum dikenal pasti maut, manakala pemandu kereta serta dua penumpang belakang berusia antara 16 hingga 17 tahun cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat lelaki dari arah pusat bandar ke Skudai hilang kawalan dipercayai akibat jalan licin disebabkan hujan.

“Kereta mereka hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang lampu di bahu jalan menyebabkan kereta itu terbalik dan terputus dua. Pemandu kereta parah, penumpang hadapan maut, manakala dua penumpang di belakang cedera ringan.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut termasuk mayat mangsa untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan identiti semua mangsa memandangkan pemandu dan penumpang depan kereta itu tidak membawa kad pengenalan.

Katanya, setakat ini pihaknya menolak kemungkinan kemalangan berpunca daripada pemandu kereta mabuk kerana semua mangsa masih di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru diarah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.14 pagi.

Mereka yang tiba bersama sembilan anggota dengan sebuah jentera serta sebuah EMRS berjaya mengeluarkan mangsa dari dalam kereta terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 5:29 PM