KEADAAN kereta yang terbakar.
KEADAAN kereta yang terbakar.

Johor Bahru: Seorang pengawal keselamatan di Singapura maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam menghala ke Pantai Lido, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.21 pagi, mangsa V Rubindranraj, 23, dari Taman Molek, di sini, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai dipandu laju dari arah Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menghala ke Pantai Lido.

Katanya, kenderaan itu bagaimanapun terbabas ke jalan susur menghala ke Balai Trafik JBS menyebabkannya mengeluarkan api sebelum terbakar pada bahagian enjin.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan kemudian dikeluarkan oleh orang ramai, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 8:14 AM