MOHD Adnan (dua kiri) menunjukkan rampasan daripada kumpulan pecah rumah. FOTO Ayusliza Azizan
MOHD Adnan (dua kiri) menunjukkan rampasan daripada kumpulan pecah rumah. FOTO Ayusliza Azizan
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Polis menahan empat lelaki warga Amerika Latin bersama dua lelaki tempatan, minggu lalu selepas dipercayai terbabit melakukan kegiatan pecah rumah sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, tangkapan pertama dilakukan di Hill Condo, Jalan Ketumbar, Cheras pada 10 malam 1 April lalu.

"Empat lelaki warga Amerika Latin berusia 27 hingga 56 tahun itu ditahan selepas kereta dinaiki mereka didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil pemeriksaan, tiga daripadanya memiliki pasport palsu manakala seorang lagi tiada dokumen pengenalan diri.

"Polis merampas telefon bimbit, pistol tiruan, hasil barang rompakan serta beberapa peralatan pecah rumah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Mohd Adnan berkata, siasatan turut dilakukan di kondominium yang disewa kumpulan berkenaan dan polis merampas beberapa barang antaranya beg tangan berjenama, barangan kemas, dan telefon pintar.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 29 tahun dipercayai bersubahat dalam kegiatan pecah rumah kumpulan berkenaan pada 2 April lalu.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman sehingga 6 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 2:11 PM