Tengku Mohd Zailan (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dipercayai dicuri di sekitar daerah ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Tengku Mohd Zailan (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dipercayai dicuri di sekitar daerah ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung : Polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar daerah ini di sebuah bilik hotel di pekan Lumut, di sini, pada 6 November lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang, lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu ditahan bersama seorang rakan lelaki ketika sedang berehat.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, rakan suspek tiada rekod lampau dan dibebaskan.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut suspek mengakui terbabit dalam 12 kes pecah rumah di sekitar Manjung dan Sitiawan sejak awal tahun sehingga kini.

"Hasil rekod kami mendapati hanya lapan kes mempunyai laporan polis manakala empat tiada laporan dibuat.

"Suspek yang mempunyai lapan rekod lampau itu menjalankan kegiatan pecah masuk rumah berseorang dan hasilnya akan dijual oleh seorang rakannya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, pihaknya turut merampas pelbagai barang kes seperti komputer riba, kamera berjenama, beg tangan berjenama, wang kertas antarabangsa, beg kecil berisi syiling, barang kemas dan peralatan memecah masuk rumah yang beranggaran lebih RM 50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 3:32 PM