Dr Kassim (dua dari kiri) dan Sean Chee (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani dokumen persefahaman di ELMU, Bandar Enstek hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Dr Kassim (dua dari kiri) dan Sean Chee (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani dokumen persefahaman di ELMU, Bandar Enstek hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Nilai: Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU), di Bandar Enstek di sini, mencipta sejarah menjadi pusat pengajian tinggi pertama seumpamanya di Malaysia.

ELMU bakal mengambil pelajar sulungnya seramai 800 orang bermula 20 Julai ini.

Universiti yang memulakan operasi pada Februari 2022 lalu akan menawarkan 11 program pengajian membabitkan peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Naib Canselor ELMU, Datuk Dr Kassim Noor Mohamed, berkata ELMU adalah universiti penuh pertama berkaitan penguatkuasaan di negara ini.

Beliau berkata, antara lain penubuhannya bermatlamat membantu dari segi undang-undang penguatkuasaan melalui pendidikan.

"Kita mahu jadi penanda aras (benchmark) kepada yang lain..sekarang macam-macam persepsi berkaitan penguatkuasaan undang-undang di negara ini. Jadi macam mana kita nak bantu, sebab itu kita buat keputusan tubuhkan universiti ini.

"Setakat ini kita sudah ada 569 pengambilan untuk semua peringkat dan dijangka akan bertambah sehingga 800 orang dalam masa terdekat.

"Malah kita juga menerima maklum balas baik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berhasrat menghantar peserta (pelajar) untuk mengikuti pengajian di sini.

"Ingin saya jelaskan bahawa ini adalah universiti penuh pertama berkaitan penguatkuasaan di negara ini," katanya kepada pemberita di ELMU di sini, semalam.

Terdahulu berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan

Gabungan Persatuan-Persatuan Sains dan Teknologi Malaysia (COSTAM) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan ELS Sdn Bhd (ELS).

Turut hadir, Presiden COSTAM, Prof Dr Ruslan Hassan dan Pengarah Urusan ELS, Sean Chee.

Mengulas lanjut, Kassim berkata, antara program pengajian yang ditawarkan di ELMU termasuk Asas Dalam Penguatkuasaan Undang-Undang, Diploma Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa dan Diploma Pengurusan Bencana.

Menurutnya, program pengajian lain yang turut ditawarkan ialah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa dengan kepujian dan Pengurusan Bencana dan Kecemasan dengan kepujian.

"Bagi peringkat sarjana pula, kursus ditawarkan adalah program pengajian dalam bidang Kriminologi dan Keadilan Jenayah serta Sains Dalam Pengurusan Bencana serta Sains Dalam Kecerdasan dan Pengawasan," katanya.

Mengenai majlis persefahaman berkenaan, beliau berkata ia suatu pencapaian penting bagi ELMU yang menekankan dedikasi terhadap kecemerlangan akademik, inovasi saintifik dan kesediaan global.

Menurutnya, kerjasama itu akan dapat mewujudkan laluan baharu untuk pelajar, memupuk budaya penyelidikan dan inovasi selain meningkatkan pengalaman pendidikan secara keseluruhannya.

Keterangan gambar

SEREMBAN 2 JULAI 2024. Naib Canselor ELMU, Datuk Dr Kassim Noor Mohamed (dua dari kiri) danPresiden COSTAM, Prof Dr Ruslan Hassan (dua dari kanan) menunjukkan dokumen persefahaman pada Majlis Menandatangani MoU di ELMU, Enstek hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 5:41 PM