MFL mengenakan hukuman ke atas Selangor FC yang beraksi menentang JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ.
MFL mengenakan hukuman ke atas Selangor FC yang beraksi menentang JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah menerima surat rayuan dikemukakan Selangor FC susulan tindakan pasukan itu 'tidak hadir' pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Menurut jurucakap MFL memaklumkan surat terbabit akan diserahkan kepada Jawatankuasa Rayuan untuk tindakan lanjut sebelum keputusan diumumkan kelak.

"Kami sudah menerima surat rayuan daripada Selangor FC dan akan menyemak segala butiran lanjut untuk tindakan susulan.

"Surat itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Rayuan untuk menilai dan mempertimbangkan kembali bentuk hukuman," katanya.

Terdahulu, Selangor FC mengesahkan sudah menghantar surat rayuan supaya dipertimbangkan semula hukuman yang dikenakan terhadap mereka oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Mengikut rekod, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC membabitkan denda RM100,000 bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menentang Harimau Selatan tanpa penonton.

Namun, MFL membuat pusingan 'U' apabila membatalkan beberapa keputusan kontroversi ke atas Selangor FC.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu membatalkan keputusan pemotongan tiga mata dan perlawanan tanpa penonton babitkan aksi antara Selangor FC dan JDT di gelanggang skuad Red Giants nanti.

Malah, MFL juga mengurangkan denda daripada RM100,000 ke RM60,000 terhadap Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 5:46 PM