PHIA Saban. FOTO HBO dan Rachell Smith
PHIA Saban. FOTO HBO dan Rachell Smith
Syafil Syazwan Jefri


Siri TV House of the Dragon mencetuskan fenomena global menerusi musim pertamanya, menyuntikkan elemen epik yang menghidupkan semula dunia Westeros yang penuh dengan naga, politik dan konflik dinasti.

Musim pertama berjaya memikat hati jutaan peminat di seluruh dunia, meninggalkan kesan mendalam dan membangkitkan minat yang tidak berbelah bahagi terhadap warisan House Targaryen.

Watak diperkenalkan seperti Rhaenyra Targaryen dan Daemon Targaryen menjadi simbol ketabahan dan keberanian, menarik penonton ke dalam naratif penuh liku-liku emosi dan plot yang tak terduga.

Konflik dalaman, pergelutan kuasa dan pengorbanan yang dilalui setiap watak memberi inspirasi dan mencipta ikatan emosional yang kuat dengan penonton.

BETHANY Antonia. FOTO HBO dan Rachell Smith
BETHANY Antonia. FOTO HBO dan Rachell Smith

Berkesempatan menemu bual seorang daripada pencipta siri hebat ini, Ryan Condal serta beberapa bintang yang menggalas tanggungjawab membawakan watak penuh epik, mereka berkongsi pengalaman saat menjayakan musim kedua House of the Dragon.

"Harapnya, musim pertama dan apa saja dari musim kedua adalah visi saya untuk rancangan ini. Saya seorang peminat besar buku George (penulis, George R R Martin) dan karyanya A Song of Ice and Fire yang kini sudah 25 tahun sejak pertama kali saya menemui buku itu.

"Ia menjadi sebahagian besar daripada hidup saya. Saya menemui buku itu ketika cuba menjadi penulis atau artis. Saya rasa buku itu beri pengaruh besar kepada saya pada masa itu. Jadi, ia sentiasa kekal dengan saya," kata Condal.

Bagaimanapun, menggalas tanggungjawab sebagai pencipta untuk siri TV membuka ruang buatnya untuk meneroka karya ini dari sudut pandang seorang peminat.

"Jika saya keliru dalam proses membuat keputusan atau apa yang perlu kami lakukan atau jalan mana yang perlu diambil, saya hanya kembali kepada apa yang saya mahu lihat sebagai peminat. Apa yang paling menarik bagi saya sebagai seseorang yang mengenali dunia ini dengan baik," katanya.

EWAN Mitchell. FOTO HBO dan Rachell Smith
EWAN Mitchell. FOTO HBO dan Rachell Smith

Bagi Ewan Mitchell yang membawa watak Prince Aemond Targaryen, musim pertama sangat menakjubkan.

"Musim pertama, musim yang menakjubkan, sebuah rancangan penuh watak hitam yang bermoral, tapi masih berkompromi.

"Saya sangat teruja untuk menjelajahi perkara ini dalam musim kedua. Sisi yang mencerminkan Aemond, sudut lain yang mungkin penonton tidak tahu, masih berada di bawah 'lapisan' luar yang dia ada.

"Dia kelihatan seperti berjiwa hitam, tetapi ada banyak lagi yang berlaku di bawah permukaan," katanya.

Bagi pelakon watak Prince Jacaerys Velaryon iaitu Harry Collett pula, dia tidak menafikan wujud tekanan yang kemudian berubah menjadi rasa teruja.

"Saya rasa ada banyak tekanan. Tetapi, akhirnya ia mengujakan. Ia cabaran sebenarnya. Kerana sudah tentu kami hanya melakukan dua episod dalam musim pertama dan kami agak baharu dalam semua ini, menjadi pendatang baharu dan agak gementar.

"Sekarang kami sudah sampai ke tahap ini. Kami kenal semua orang, kami lebih yakin dan ada ruang untuk tambah baik serta memberi idea. Ia sangat-sangat menyenangkan.

HARRY Collett. FOTO HBO dan Rachell Smith
HARRY Collett. FOTO HBO dan Rachell Smith

"Ya, sudah tentu sentiasa ada tekanan dan kegelisahan. Tetapi, sejujurnya saya tahu ia kedengaran klise, tetapi semua orang sangat baik dalam penggambaran ini. Tidak ada seorang pun yang bersikap buruk. Jadi, kami semua serasi," katanya.

Semangat sama turut dikongsi rakannya, Bethany Antonia yang memegang watak Lady Baela Tagaryen.

"Rasanya seperti selepas cuti musim panas dan kemudian, anda kembali ke sekolah. Hubungan anda dengan orang lain semakin baik dan anda mengenali semua orang, sekali gus membuatkan anda kurang gementar.

Matt Smith yang memegang watak Prince Daemon Targaryen pula meluahkan rasa rindu kepada beberapa bintang yang tidak lagi bersama mereka dalam musim ini.

"Oh, anda tahu, ia lebih terasa apabila anda mengalami sesuatu dengan seseorang. Contohnya kami tidak ada Paddy (Considine) di sini tahun ini, jadi ketiadaannya dirasakan.

"Ada konteks lebih luas untuk jawapan itu yang membuatnya lebih jelas. Tetapi, anda tahu, apabila anda sudah melalui perjalanan kreatif dan usaha dengan sesiapa sahaja dan anda sudah bekerja begitu rapat dengan orang-orang itu.

MATT Smith. FOTO HBO dan Rachell Smith
MATT Smith. FOTO HBO dan Rachell Smith

"Maksud saya, akhirnya rancangan ini masih berada di tangan yang baik. Dia tahu ke mana ia menuju dan kami tahu bagaimana untuk menyampaikannya. Jadi, kami teruskan di jalan yang betul," katanya.

Halaena Targaryan yang dijayakan pelakon Phia Saban serta Olivia Cooke yang membawa watak Queen Alicent turut berkongsi keterujaan mereka.

"Saya dan Olivia ada beberapa adegan yang cukup berkesan musim ini. Kami habiskan banyak masa bersama musim ini. Ia benar-benar sangat sibuk.

"Ada banyak adegan menangis, menjerit dan serangga. Banyak serangga. Ada satu adegan yang saya dan Olivia lakukan di mana kami sangat aktif.

"Saya sangat terbawa-bawa kerana kami benar-benar takut. Pada satu ketika saya menjerit, 'Mom!' Olivia berkata, awak tak boleh buat begitu. Itu bukan dialek Westeros," kata Phia.

House of the Dragon musim kedua mula ditayangkan di platform HBO pada 17 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 5:34 PM