MOHD Adnan (dua kanan) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas. FOTO  Ayusliza Azizan
MOHD Adnan (dua kanan) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas. FOTO Ayusliza Azizan
Oleh Ayusliza Azizan


Shah Alam: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah di sekitar Lembah Klang apabila menahan tiga lelaki warga Amerika Latin dalam serbuan di kondominium di Damansara, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 10 malam itu, polis turut merampas pistol tiruan beserta alatan pecah rumah, telefon bimbit, alat penimbang emas, senjata buku lima dan barangan kemas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, polis yakin dengan penahanan tiga lelaki warga Amerika Latin itu, sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di Lembah Klang dan Petaling Jaya dapat diselesaikan.

"Polis akan terus menjalankan siasatan kerana percaya masih ada lagi ahli kumpulan ini yang bergiat aktif menjalankan aktiviti pecah rumah.

"Ketiga-tiga suspek yang berusia 27 hingga 47 tahun itu ditahan reman sehingga 7 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya dalam sidang media di sini di IPK Selangor, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 7:28 PM