KEMALANGAN membabitkan bas persiaran di Jalan Turun Genting Highlands, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
KEMALANGAN membabitkan bas persiaran di Jalan Turun Genting Highlands, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Bentong: Pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan dua kematian di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di sini, baru-baru ini akan dituduh di Mahkamah di sini esok.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu akan dituduh 9 pagi esok atas dua pertuduhan.

"Pertuduhan pertama ke atas suspek mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (kemalangan sehingga menyebabkan kematian dan Seksyen 26 (1) Akta sama kerana tidak memiliki lesen memandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan dua lelaki terdiri daripada pelancong warga China maut selepas bas dinaiki mereka terbabit kemalangan di KM 16.5 Jalan Genting Highlands, di sini pada Sabtu lalu.

Zaiham dilaporkan berkata, siasatan awal dilakukan mendapati seramai 21 individu terbabit dalam kemalangan itu.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 18 penumpang warga asing serta tiga warga tempatan iaitu masing-masing seorang pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong.

Katanya, semakan dilakukan terhadap pemandu bas berkenaan mendapati terdapat 27 saman lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 5:46 PM