Antara barangan hasil pecah rumah yang dirampas. FOTO Na'imah Mohamed dan Muhammad Sulaiman
Antara barangan hasil pecah rumah yang dirampas. FOTO Na'imah Mohamed dan Muhammad Sulaiman
Mohd Adnan (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media hari ini. FOTO Na'imah Mohamed dan Muhammad Sulaiman
Mohd Adnan (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media hari ini. FOTO Na'imah Mohamed dan Muhammad Sulaiman
Na'imah Mohamed


Shah Alam: Dua warga Amerika Latin serta seorang warga tempatan ditahan dalam dua tangkapan berasingan selepas dipercayai terbabit melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, tangkapan pertama dilakukan Selasa lalu di Datuk Keramat, Kuala Lumpur kira-kira 9 malam.

"Pasangan berusia 39 dan 37 tahun itu ditahan selepas dikesan menaiki kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil pemeriksaan, kedua-duanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala pemeriksaan ke atas kereta Toyota Camry dinaiki mereka menemui alatan pecah rumah, sarung tangan serta pelbagai nombor pendaftaran kenderaan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini sebentar tadi.

Mohd Adnan berkata, polis kemudian menyerbu dua premis di kawasan berkenaan dan menemui pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah, antaranya barang kemas, jam tangan berjenama dan wang tunai pelbagai mata wang.

"Polis turut menemui jubah dan kopiah dipercayai digunakan sindiket terbabit untuk menyamar ketika melakukan jenayah.

"Hasil siasatan terhadap suspek, polis menahan lelaki tempatan berusia 47 tahun yang bertindak sebagai pembekal kenderaan kepada sindiket itu di Seksyen 9, dekat sini, semalam," katanya.

Pasangan itu ditahan reman sehingga 5 April ini manakala seorang lagi suspek masih dalam proses untuk mendapatkan perintah reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 12:33 PM