Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Empat lelaki dicekup polis selepas cuba memecah masuk rumah di Taman Putri Kulai, 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Razak Md Said berkata, sebelum ditangkap suspek yang berusia 21 ke 31 tahun itu, cuba meloloskan diri menaiki pacuan empat roda (MPV).

Katanya, kenderaan suspek kemudian terbabas selepas melanggar lima kenderaan lain di hadapan stesen minyak di Kulai.

"Sebuah MPV yang sedang membuat rondaan di Taman Puteri Kulai terserempak dengan empat lelaki di Taman Puteri, Kulai dalam cubaan untuk memecah masuk rumah kediaman terbabit.

"Menyedari kehadiran polis, semua suspek melarikan diri dengan sebuah kenderaan dan polis mengejar di sekitar kawasan Taman Puteri dan Taman Lagenda Putra, Kulai.

"Pemeriksaan yang dibuat ke atas kenderaan suspek kemudiannya membawa penemuan sejumlah perkakasan pecah rumah dan alat curi kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, suspek disahkan positif dadah hasil saringan air kencing selain kenderaan digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 7:20 PM