Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta jenis Proton Wira di Pekan Kelapa Sawit kenderaan yang dinaiki dua lelaki bertindak memecut laju dan enggan berhenti untuk pemeriksaan. FOTO ihsan FB Community Roda Johor (CRJ)
Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta jenis Proton Wira di Pekan Kelapa Sawit kenderaan yang dinaiki dua lelaki bertindak memecut laju dan enggan berhenti untuk pemeriksaan. FOTO ihsan FB Community Roda Johor (CRJ)
Mohd Sabran Md Sani

POLIS terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki yang melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di pekan Kelapa Sawit, Kulai pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian pada 8.50 pagi ketika anggota kereta peronda polis (MPV) sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan.

Katanya, dua anggota terbabit terserempak dengan Proton Wira kelabu dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Sri Putri, Kulai.

“Anggota berkenaan kemudian mengarahkan kereta itu berhenti, namun pemandu memecut kenderaan dan pihaknya sebelum mendapatkan sebuah lagi MPV.

“Kenderaan dinaiki suspek memecut laju ketika meloloskan diri dari pemeriksaan polis dan bertindak agresif hingga ke Jalan Utama Batu 24, Kelapa Sawit,” katanya.

Beliau berkata, akibat masalah teknikal, tugas mengejar suspek dilakukan sebuah lagi MPV dan ketika tiba di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit, kenderaan suspek mengancam anggota ronda Balai Polis Sawit yang sedang bertugas.

“Anggota yang diancam suspek sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan itu.

“Bagaimanapun suspek berjaya meloloskan diri dengan masuk ke dalam semak sehingga ke Taman Murni Jaya, Layang-Layang, Kluang.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Unit Anjing Pengesan (K9) membantu siasatan di lokasi kejadian.

Menurutnya, usaha dilakukan bagi mengenal pasti suspek dan melancarkan gerakan memburu sehingga kedua-duanya ditangkap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Terdahulu tular video berdurasi kira-kira 10 saat membabitkan aksi polis mengejar suspek menaiki sebuah Proton Wira di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit hari ini.

Turut kedengaran satu das tembakan di lepaskan ke arah kenderaan yang sedang memecut laju itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 6:28 PM