Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kulaijaya: Seorang kontraktor berusia 47 tahun maut selepas terkena beberapa das tembakan dilepaskan individu tidak dikenali dalam kejadian di depan rumahnya di Kampung Sepakat Baru, Senai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, A Sriraman parah pada badan dan disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulai.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Superintendan Razak Md Said berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditembak suspek tidak dikenali.

“Ketika kejadian, mangsa yang baru selesai makan keluar rumah sebelum ditembak seorang daripada dua suspek. Suspek melarikan diri.

“Siasatan di tempat kejadian menemui lima kelongsong peluru dan usaha memburu kedua-dua suspek masih berjalan,” katanya, semalam.

Menurut Razak, pihaknya merakamkan keterangan daripada beberapa individu bagi membantu siasatan kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 6:37 AM