Ibrahim Isa


LIMA kenderaan rosak dirempuh lori membawa burger dan roti dalam cubaan melarikan diri daripada diperiksa polis trafik di Taman Impian Emas, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, polis trafik melakukan rondaan di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, sebelum menghampiri sebuah lori yang mencurigakan.

Menurutnya, sebaik melihat kehadiran polis, pemandu berusia 24 tahun tiba-tiba memecut laju kenderaannya.

"Keadaan itu menyebabkan polis mengejar suspek dan pada masa sama menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk mendapatkan bantuan.

"Ketika cuba melarikan diri, lelaki itu melanggar beberapa kenderaan di taman perumahan itu menyebabkan polis terpaksa mengerahkan tiga unit kereta peronda (MPV) dari IPD Johor Bahru Utara selain mendapatkan bantuan tiga MPV dari IPD Kulai.

"Suspek berjaya ditahan di Felda Ulu Tebrau selepas dikejar sejauh 20 kilometer dan pemeriksaan mendapati pemandu itu tiada lesen memandu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati cukai jalan lori berkenaan tamat tempoh.

Katanya, selain itu polis mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan curi kenderaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan reman tiga hari hingga Khamis ini.

"Sehingga kini, kami hanya menerima satu laporan polis oleh seorang pemilik kenderaan yang dilanggar suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 8:09 PM