CARA Rihanna elak gangguan paparazi, mahu merokok dengan tenang.
CARA Rihanna elak gangguan paparazi, mahu merokok dengan tenang.
Susunan Michelle Gun

Penyanyi terkenal Rihanna mempunyai cara tersendiri untuk menikmati ketenangan tanpa gangguan paparazi mahupun peminat.

Baru-baru ini, penyanyi berusia 28 tahun itu dikatakan menempah satu tingkat sebuah hotel supaya dia dapat merokok dengan tenang.

Portal Daily Star melaporkan sumber memberitahu bintang kelahiran Barbados itu berbuat demikian kerana tidak mahu pelanggan lain mengadu tidak selesa dengan bau asap rokok.

Malah, sumber itu berkata Rihanna sudi membuat bayaran bilik pelanggan hotel terbabit sekiranya terdapat aduan.

Bukan itu sahaja, Rihanna turut menempah sebuah bilik Master Ensuite supaya dia boleh mencuba pakaian konsert jelajah Anti tanpa sebarang gangguan.

Menurut Daily Star, ini bukan kali pertama penyanyi yang popular dengan lagu Work itu berbuat demikian ketika mengadakan konsert jelajah.

Sebelum ini, Rihanna pernah menempah seluruh tingkat sebuah hotel di London untuk berseronok bersama rakan selebriti selepas selesai konsert.

Dalam perkembangan lain, Rihanna berjaya mengatasi rekod Billboard Michael Jackson selepas lagu Work mendominasi kedudukan teratas carta lagu itu sebanyak 14 kali.

Buat masa ini, album Rihanna berjudul Anti menduduki tempat ketiga dalam carta Billboard 200.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 11:50 AM