DAVID Foster banyak hasilkan  lagu hit penyanyi terkenal dunia.
DAVID Foster banyak hasilkan lagu hit penyanyi terkenal dunia.
Oleh Michelle Gun


Selepas Peabo Bryson, industri hiburan tanah air terus meriah dengan kehadiran enam artis hebat iaitu David Foster, Boyz ll Men, Ruben Studdard, Peter Cetera, Natalie Cole dan Jackie Evancho.

Mereka akan mengadakan persembahan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 14 Ogos ini sempena konsert jelajah asia Hitman David Foster and Friends. Konsert itu juga bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-50 Resorts World Genting.

Terkenal sebagai penerbit, komposer, peng­gubah dan pemuzik, Foster juga dikenali menerusi kolaborasinya dengan penyanyi pop terkenal antaranya Celine Dion, Josh Groban, Toni Braxton, Christina Aguilera dan Michael Buble.

Beliau juga pernah memenangi 16 anugerah di Grammy Awards atas hasil karyanya sepanjang empat dekad bergelar anak seni.

Berasal dari Kanada, Foster kini memberi tumpuan menganjurkan konsert sendiri yang diberi judul David Foster and Friends yang menampilkan barisan penyanyi terkenal dalam industri muzik.

Pada konsert di Genting Highlands nanti, Peter Cetera yang juga penya­nyi kumpulan rock popular 1970-an iaitu Chicago akan menyampaikan beberapa lagu yang pernah dihasil­kan bersama Foster.

Cetera terkenal menerusi lagu Hard To Say I’m Sorry dan Glory of Love yang dijadikan sebagai lagu tema The Karate Kid dan kemudian dicalonkan bagi anugerah Oscar, Golden Globes dan Grammy Awards.

Foster turut berkolborasi dengan pemenang American Idol 2003, Studdard untuk menghasilkan album baru penyanyi itu berjudul Unconditional Love.

Penyanyi yang dijangka menjadi tumpuan ramai adalah kumpulan R&B Boyz ll Men.

Kini dianggotai Nathan Morris, Wanya Morris dan Shawn Stockman, kumpulan itu mencipta nama di seluruh dunia dengan lagu seperti End of the Road, I’ll Make Love To You, On Bended Knee dan One Sweet Day bersama Mariah Carey.

Bakat penyanyi remaja Jackie Evancho, 15, yang berjaya mencuri perhatian Foster, sekali gus diundang untuk membuat persembahan di konsert pemuzik itu sejak 2009.

Album bekas peserta America’s Got Talent itu yang diberi judul Awakening diangkat nombor satu dalam carta lagu klasikal Billboard pada tahun lalu.

Peminat Natalie Cole pasti tidak sabar menyaksikan persembahan lagu popular penyanyi itu antaranya I’ve Got Love on My Mind, Our Love, Jump Start (My Heart) dan I Live for Your Love.

Tiket menyaksikan konsert David Foster and Friend’s bermula pada harga RM298 hingga RM2,108. Ahli Genting Rewards akan menerima diskaun 10 peratus bagi pembelian tiket VIP dan VVIP.

Maklumat lanjut layari www.rwgenting.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 1:14 PM