The Weeknd bersama trofi dimenanginya. FOTO Reuters
The Weeknd bersama trofi dimenanginya. FOTO Reuters
Susunan Michelle Gun


Kuala Lumpur: Anugerah Muzik Billboard 2016 menyaksikan penyanyi The Weeknd menggondol lapan trofi pada acara tahunan yang berlangsung di Arena T-Mobile, Las Vegas, Amerika Syarikat, pagi tadi.

Penyanyi Kanada berusia 26 tahun itu memenangi anugerah bagi Artis R&B Terbaik, Artis Hot 100 Terbaik, Lagu R&B Terbaik dan Artis Paling Laris.

Dia turut menewaskan beberapa penyanyi hebat bagi kategori Artis Radio Terbaik, Artis Streaming Terbaik, Album R&B Terbaik dan Audio Lagu Streaming Terbaik.

Sementara penyanyi Inggeris popular, Adele yang dicalonkan dalam lapan kategori hanya memenangi lima anugerah termasuk Artis Terbaik dan Artis Wanita Terbaik.

Adele yang tidak dapat hadir kerana sibuk dengan konsert jelajahnya turut menerima trofi bagi kategori Album Billboard 200 Terbaik, Artis Billboard 200 Terbaik dan Lagu Paling Laris.

Manakala Justin Bieber dinobatkan Artis Lelaki Terbaik dan Rihanna membawa pulang trofi bagi Anugerah Pencapaian Terbaik Carta Billboard. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 2:15 PM