Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak () sudah bersedia menggalas tugas pada aksi persahabatan menentang Syria, 12 November ini.

Aidil Zafuan yang kini ditukar posisi daripada pertahanan tengah ke bek kanan sedang bekerja keras untuk mencari kesesuaian posisi itu tatkala mengakui betapa saingan peringkat antarabangsa lebih mencabar daripada kancah liga tempatan.

Katanya, jika tersenarai pada pertembungan menentang Syria, ia adalah aksi pertama dia beraksi di posisi bek kanan pada perlawanan antarabangsa dan perlu memantapkan prestasi untuk memastikan benteng sukar ditembusi lawan.

“Posisi bek kanan buat pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa cukup mencabar buat diri saya namun tiada alasan untuk berasa gementar sebaliknya akan beri persembahan terbaik jika diturunkan pada aksi persahabatan itu,” katanya.

Mengulas persiapan skuad Harimau Malaya yang akan mengharungi kempen Piala AFF di Singapura, 23 November ini, Aidil mengakui bahagian benteng belum benar-benar mantap.

“Masih ada kelonggaran dan kami perlu segera bangkit memperbaiki corak permainan malah saya yakin jurulatih, Dollah Salleh sudah kenal pasti kelemahan dan akan memantapkan setiap posisi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:05 AM