GOMEZ (dua dari kanan) bersama Hariss Harun (kanan) bersalaman dengan pengendali Bengaluru FC, Ashley Westwood (dua dari kiri) dan kapten Sunil Chettri.
GOMEZ (dua dari kanan) bersama Hariss Harun (kanan) bersalaman dengan pengendali Bengaluru FC, Ashley Westwood (dua dari kiri) dan kapten Sunil Chettri.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Walaupun tampak sukar untuk menang, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tetap menyimpan hasrat melakar kemenangan kedua berturut-turut apabila berdepan Bengaluru FC pada aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, India, malam ini.

Ketua jurulatih Mario Gomez tidak menafikan pemainnya bakal berdepan tugas getir berdepan kelab dari India itu namun mengingatkan pemain Harimau Selatan supaya tidak hilang fokus pada perlawanan itu.

Pengendali dari Argentina itu mahu anak buahnya tidak terlalu yakin dapat menewaskan skuad kendalian Ashley Westwood walaupun pernah menang 2-1 pada aksi Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu.

“Itu cerita lama dan pasti Bengaluru FC akan tampil lebih kuat dan mahu menewaskan Johor DT. Saya mengingatkan pemain supaya tidak leka dan mempamer aksi terbaik untuk memburu tiga mata berharga apabila beraksi di tempat lawan.

“Kita kini berada di tangga teratas Kumpulan H selepas menang 8-1 ke atas Ayeyawady United manakala Bengaluru FC tewas tipis 1-2 kepada Loa Toyota dan pastinya kelab dari India itu inginkan kemenangan pada aksi kedua.

“Mengenai status pemain, buat masa ini hanya S Chanthuru yang mungkin tidak diturunkan namun kecederaannya tidak serius manakala Junior Eldstal dan Asraruddin Putra Omar belum bersedia untuk aksi kompetitif,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan padang di Stadium Sree Kanteerava, Gomez mengakui beliau tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkara itu dan berharap tidak timbul masalah buat pemainnya nanti.

Beliau juga menegaskan bakal menurunkan kesebelasan terbaik pada aksi itu untuk memburu kemenangan dan mencuba sedaya upaya merangka strategi ampuh bagi mengimbangi kekuatan Bengaluru FC yang pasti mahu menebus kekalahan musim lalu.

“Benteng pertahanan Johor DT akan kembali diperkukuhkan gandingan Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Radzak yang direhatkan ketika menentang Negeri Sembilan pada saingan Piala FA dan mereka amat diperlukan untuk menguatkan benteng,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 10:06 AM