SAFEE bakal diturunkan menentang Negeri sembilan.
SAFEE bakal diturunkan menentang Negeri sembilan.
Mario Gomez
Mario Gomez
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez kemungkinan merehatkan sekurang-kurang tujuh pemain apabila berdepan Negeri Sembilan pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Larkin, malam ini.

Pengendali dari Argentina itu berkata, langkah berkenaan diambil bagi memberi peluang kepada mereka yang beraksi sejak perlawanan pertama liga berehat bagi menghadapi saingan Kumpulan H Piala AFC menentang Bengaluru FC di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, India, Rabu ini.

Beliau berkata, pemain seperti Marcos Antonio, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Fazly Mazlan mungkin diketepikan daripada menentang skuad Hoben Jang Hoben itu dengan beberapa pemain simpanan akan menggantikan tempat mereka.

“Saya tetap serius terhadap perlawanan ini kerana kami mahu pergi lebih jauh dalam saingan Piala FA. Namun saya perlu merangka perancangan lebih rapi dan seimbang kerana kami akan berdepan kelab dari India, Rabu ini.

“Kami kesuntukan masa untuk membuat persiapan bukan saja bagi saingan Piala FA malah Piala AFC. Sebab itu saya membuat rombakan dengan tujuh pemain mungkin tidak disenaraikan menentang Negeri Sembilan.

“Bukan saja posisi pertahanan akan mengalami perubahan, malah tengah dan serangan juga. Mungkin Amri Yahyah dan Safee Sali diturunkan untuk Piala FA,” katanya.

Gomez menyifatkan Negeri Sembilan bukan calang-calang lawan walaupun pasukan itu beraksi dalam Liga Perdana. Malah beliau tetap menghormati skuad kendalian Gary Michael Philips yang memiliki barisan pemain muda serta mampu menggugat peluang Johor DT mencipta kemenangan.

Beliau juga mengingatkan pemain Johor DT supaya beraksi secara konsisten dan pantas mengambil kesempatan mencipta gol serta tidak melakukan kesilapan mudah sehingga memberi ruang kepada lawan melakar kejutan.

“Walaupun tidak tahu kekuatan sebenar Negeri Sembilan kami harus berwaspada.

“Apapun kami akan gunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di tempat sendiri bagi memburu kemenangan dan saya harap perlawanan itu tidak berlanjutan sehingga masa tambahan,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:44 AM