Safik menjaringkan hatrik malam tadi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Safik menjaringkan hatrik malam tadi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) berpesta gol di laman sendiri apabila menyumbat lapan gol dalam aksi perlawanan pertama peringkat kumpulan H menentang Ayeyawady United (Myanmar) di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos Larkin di sini, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, tiga mata berharga menjadi milik Johor DT manakala kapten pasukan Johor DT yang juga pemain paling bernilai Piala AFC 2015, Safiq Rahim mencipta hatrik dalam perlawanan itu.

Safiq terlebih dahulu mencipta gol pertama perlawanan selepas gerakan solonya seawal minit keempat gagal dikawal barisan pertahanan lawan.

Bagaimanapun, kegembiraan kira kira 12,000 penyokong tuan rumah bagaikan direntap seketika dua minit selepas itu, apabila Thiha Zaw meledak gol penyamaan.

Masuk minit ke-12, bintang import JDT Pereyra Diaz melebarkan jurang apabila hantaran silang S Kunanlan berjaya dimanfaatkan sekali gus menewaskan penjaga gol, Vanlal Hruai.

Semakin bersemangat beraksi di laman sendiri menyaksikan pemain pertahanan Johor DT Marcos Antonio membuat 'overlap' dan berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-30.

Babak kedua bersambung menyaksikan skuad bimbingan ketua jurulatih Mario Gomez melancarkan serangan bertalu termasuk percaturan Safiq yang berjaya meledak gol pada minit ke-48 dan minit ke-62.

Pemain import terbaru Johor DT Lucero memastikan anak buah Kyaw Lwin gigit jari apabila meledak dua gol pada minit 81 dan 87, manakala gol penyudah Aidil Zafuan pada m89 terus merobek luka lawan.

Selepas ini Johor DT akan bertemu Bengaluru FC (India) pada 9 Mac ini dan melayan kunjungan lawan Lao Toyota (Laos) di sini pada 16 Mac .

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 10:44 PM