Asrol Awang


Kuantan: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Akbar V V Abu (gambar) dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang FC Sdn Bhd yang baharu berkuatkuasa semalam.

Ia disahkan pengurus Pahang Datuk Che Nasir Salleh bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Fahrizal Hasan yang melepaskan jawatan sebagai CEO Pahang FC, kelmarin.

Katanya, pelantikan Akbar dianggap pengganti paling tepat berdasarkan pengalaman luas dalam sukan bola sepak di Pahang dan selayaknya memegang jawatan itu.

“Bagaimanapun, prestasi beliau (Akbar) akan dinilai oleh Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku Presiden PBNP bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’,” katanya semalam.

Selain memegang jawatan selaku Naib Presiden PBNP, Akbar pernah memegang jawatan selaku pengurus skuad Piala Presiden, Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang dan terbabit secara langsung dalam skuad Shahzan Muda untuk melahirkan pemain berkaliber sejak 1992.

Justeru, Che Nasir berkata, pengumuman itu menafikan beliau yang sebelum ini dikatakan mengambil alih jawatan CEO kerana fokus utamanya selaku pengurus skuad Liga Super Pahang.

“Oleh itu, saya minta peminat tidak mengecam dan mengaitkan saya dalam soal perletakan jawatan Fahrizal kerana tidak pernah berhasrat untuk memegang jawatan CEO.

“Saya tahu ada yang mengkritik tapi apa yang boleh diperjelaskan saya tidak terbabit dalam hal pengurusan serta pentadbiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 9:13 AM