SUFFIAN teruja mengurus skuad Pahang. FOTO/FAIL
SUFFIAN teruja mengurus skuad Pahang. FOTO/FAIL
Asrol Awang


DATUK Mohammed Suffian Awang teruja apabila dilantik pengurus baharu skuad Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini. Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah akan digalas sebaik mungkin.

Katanya, gandingan bersama ketua jurulatih, Dollah Salleh diyakini mencapai misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim 2018. “Sebenarnya, saya teruja apabila dilantik sebagai pengurus skuad Tok Gajah dan sedia memikul amanah ini sebaik mungkin di atas kepercayaan Presiden PBNP. Dengan kerjasama Dollah, kami percaya satu piala akan diraih musim ini,” katanya.

Mohammed Suffian menggantikan Datuk Che Nasir Salleh yang kini memikul tugas selaku penolong pengurus pasukan.

Sementara itu, kapten Pahang, Matthew Davies bersama rakan sepasukan tekad mempamerkan prestasi terbaik untuk mencapai misi pengurusan menjulang sekurang-kurangnya satu piala.

Katanya, dengan barisan pemain serba mantap termasuk kehadiran lima pemain import mampu menambah lagi kekuatan pasukan.

“Kami akan lakukan yang terbaik dan impian mengucup piala musim ini diharap terlaksana,” katanya.

Musim lalu, Pahang sekadar muncul naib juara Piala FA, tangga kedua Liga Super dan terkandas di suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 3:32 PM