RAZIP  (tengah) berbincang dengan pemain import pada sesi latihan.
RAZIP (tengah) berbincang dengan pemain import pada sesi latihan.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Bekas pengendali Harimau Muda B, Razip Ismail dilantik selaku pengendali Pahang yang baharu bagi menggantikan Ahmad Shaharuddin Rosdi yang melepaskan jawatan berkenaan.

Razip yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kepercayaan yang diberikan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akan digunakan sebaik mungkin.

Katanya, misi utama kini adalah untuk memastikan kedudukan tercorot yang dihuni dalam Liga Super dapat diubah apabila saingan kembali bersambung bulan depan.

“Saya akan pastikan Pahang kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan dan akan memberi saingan dan tentangan pada setiap perlawanan.

“Pasukan ini tidak mahu lagi berada di tempat tercorot dan penambahbaikan perlu dilakukan terutama di bahagian tengah dan serangan serta memperkuatkan jentera pertahanan.

“Saya sudah menyaksikan aksi Pahang ketika mereka tewas 0-2 kepada FELDA United dan kekurangan pengalaman adalah faktor prestasi Pahang tidak mencapai tahap yang diinginkan.

“Justeru, fokus utama adalah mencatat kemenangan pertama saingan liga dan membantu mereka menambah keyakinan dalam baki perlawanan,” katanya pada sidang media di padang Taman Gelora, di sini, semalam.

Terdahulu, Razip menandatangani kontrak semusim bersama Pahang yang disaksikan Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim dan Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar VV Abu di pejabat PBNP, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 8:35 AM