Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh menyerahkan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk membuat keputusan terhadap permintaan Mohd Razman Roslan agar dikecualikan daripada beraksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.

“Biar presiden buat keputusan sebab hanya beliau yang layak. Kami hanya menjunjung titah,” katanya.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu sama ada berkaitan bookie, dendam atau mungkin kerana kelantangan Razman, 31, di media sosial hingga kediamannya ditembak awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, lima tembakan dilepaskan ke kediamannya di Lorong Kubang Buaya 35 hingga menyebabkan cermin belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik bapa mentuanya pecah.

Pemain kelahiran Kajang, Selangor, itu membuat permintaan untuk dikecualikan kerana dikatakan mengalami gangguan emosi dan kehilangan fokus untuk mengharungi aksi di Paroi, Seremban.

Ketua jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan pula berkata, beliau ada mendengar permintaan pemain itu, namun perlu berbincang terlebih dulu dengan pengurusan tertinggi PBNP.

“Kita faham situasi dihadapi Razman dan banyak aspek perlu dipertimbangkan termasuk keselamatannya dan keluarga yang mungkin trauma.

“Saya tidak menerima secara rasmi permintaan Razman itu, namun masih boleh dipertimbangkan. Cuma bukan saya yang boleh putuskan,” katanya.

Selain itu, Zainal turut berharap semua pihak termasuk peminat menyerahkan insiden itu kepada polis untuk disiasat dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu pemain itu.

“Saya minta maaf, benda lain saya tak nak komen sebab ini sudah jadi kes polis. Biar mereka jalankan kerja kerana yang penting fokus terhadap perlawanan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:27 AM