PEMAIN UniKL (tengah) mengasak pemain Anderson Thunderbolt, semalam.
PEMAIN UniKL (tengah) mengasak pemain Anderson Thunderbolt, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Kejutan besar dicipta juara Divisyen Dua Anderson Thunderbolt selepas menewaskan naib juara musim lalu UniKL Young Guns 3-2 pada aksi suku akhir pertama Piala TNB, semalam.

Keputusan itu jelas memberi tamparan kepada UniKL yang diramal tidak berdepan masalah menewaskan lawan mereka itu selepas mendahului 2-0 berakhir babak pertama.

Namun Anderson melakukan kebangkitan luar biasa sehingga memperoleh tiga gol pada separuh masa kedua untuk membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik pada Ahad ini Stadium Sultan Azlan Shah yang juga gelanggang keramat mereka.

“Pemain gagal beraksi seperti biasa pada separuh masa pertama sehingga menyebabkan kita ketinggalan dua gol.

“Mungkin pada awal separuh masa pertama pemain berasa gugup kerana bertemu UniKL yang juga pasukan pilihan.

“Tetapi pada separuh masa kedua, baru pemain beraksi dengan corak permainan sebenar dan akhirnya mereka memperoleh kemenangan,” kata pengurus pasukan Mohd Saiyuti Abd Samat.

Muhammad Nurasyraf Rosli menyumbang gol pertama untuk UniKL menerusi pukulan sudut penalti minit ke-17 sebelum Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman menambah gol kedua minit ke-26 hasil jaringan padang.

Anderson bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Nur Syahmi Zulkifli minit ke-49 serta Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal minit ke-52.

Muhammad Najme Ahmad Hayazi muncul wira dengan meledak gol kemenangan selepas Anderson dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:48 AM