PEMAIN SSBJ Thunderbolt meraikan kemenangan ketika menentang  pasukan UniKL Young Guns, semalam.
PEMAIN SSBJ Thunderbolt meraikan kemenangan ketika menentang pasukan UniKL Young Guns, semalam.

Kuala Lumpur: Umpama mimpi ngeri. Mungkin itu paling sesuai menggambarkan situasi dihadapi naib juara liga musim lalu, UniKL Young Guns apabila dibelasah SSBJ Thunderbolt 1-6 pada aksi pertama saingan Divisyen Satu TNB Liga Hoki Remaja Malaysia, semalam.

Mengharapkan untuk meraih tiga mata penuh, SSBJ sebaliknya menghancurkan impian mereka apabila selesa dengan jaringan empat gol selepas berakhir separuh masa pertama.

Pengurus pasukan UniKL Mohd Asmadi Mohd Nor berkata, mereka menerima kekalahan itu dan mahu barisan pemainnya bangkit semula pada perlawanan seterusnya.

“SSBJ bermain dengan semangat juang tinggi berbanding kami. Saya sendiri dapat lihat kami gagal beraksi baik. Pemain gagal memberikan tumpuan baik sepanjang perlawanan.

“Mungkin ini aksi paling teruk jika dibandingkan dengan lima perlawanan persahabatan sebelum ini,” katanya.

Pesta gol SSBJ bermula pada minit ke-18 selepas Muhammad Hafizhuddin Zaidi meledak gol pertama menerusi jaringan padang.

Belum sempat UniKL memperkemaskan rentak permainan, SSBJ terus menambah gol kedua, kali ini menerusi jaringan Muhammad Rahimi pada minit ke-20.

Hafizhuddin menambah gol ketiga untuk SSBJ hasil jaringan padang minit ke-33 sebelum Muhammad Zulfitri Md Zin menambah gol keempat menerusi pukulan sudut penalti minit ke-35.

Muhammad Khairulamirin Abdul Jalil sedikit melegakan UniKL apabila menyumbang gol pertama menerusi pukulan sudut penalti minit ke-38.

Bagaimanapun Mohd Adam Daniel Feroza menutup hasrat UniKL untuk bangkit apabila menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-55 dan 70.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:39 AM